Pengerusi AJK Masjid, kasihanilah para asatizah
Dah lama saya simpan nak menulis tentang ni. Sejak akhir-akhir ni, kita dikhabarkan dengan beberapa berita tentang cabaran kesihatan para asatizah. Sebelum ni, Datuk Dr Ustzh Norhafizah Musa (Jantung), haritu Ust Haslin Bollywood (Strok), yang terkini senior saya di UIA yang juga suami kepada Naqibah Usrah saya Kak Yati, Ust Mohd Zarifi Daud (Strok).
Saya share sikit pengalaman saya sebelum ni, sebagai isteri kepada seorang penceramah bebas Masjid / Surau suatu ketika dahulu sebelum “bersalin kulit” menjadi “Dr Roket” Hehe- Dr Hj Mohd Khairul Nizam.
Saya sangat hargai dan memuji sifat pemurah para AJK Masjid / penganjur program dalam meraikan para asatizah ni. Alhamdulillah, saya juga mendapat tempias rezeki nikmat makanan yang sedap ya amat.
Masakan lauk kampung air tangan orang lama memang tiada bandingan!. Masak lemak, kari kambing, roti canai, nasi lemak daun pisang dan macam-macam lagi- pergh memang terangkat! Kadang tu siap boleh makan untuk esok atau sedekah dekat mana-mana guard. Betapa banyaknya nikmat rezeki yang Allah bagi.
Kadang bila suami balik dari ceramah / program, kami akan bersembang dulu di dapur sambil menikmati makanan yang diberikan. Bayangkan pukul 10 / 11 / 12 malam masih makan! Sesekali tu mungkin ok lagi. Tapi bayangkanlah kalau hampir setiap hari, dah lebih bertahun?
Tapi tu lah, bila makan lewat malam dengan makanan berat macam ni, ia jadi beban untuk badan. Badan kita sepatutnya dalam mode rehat waktu malam, tapi sebab perut penuh dengan makanan berat, jantung dan sistem pencernaan terpaksa kerja keras.
Kajian dah buktikan makan lewat malam boleh tingkatkan risiko strok sampai 28% dan penyakit jantung. Tidur tak cukup lepas tu, tekanan darah naik, gula dalam darah pun jadi tak stabil – itu yang jadi punca penyakit serius macam strok, jantung, dan diabetes. (Rujuk jurnal Nature Communications 2023). Na’uzubillahiminzalik.
Ustaz-ustaz kita ni pulak jenis yang susah nak tolak. Nak jaga hati tuan rumah, nak menghargai usaha AJK masjid surau yang dah bersusah payah sediakan makanan – siapa yang sanggup tolak? Tapi kesannya pada kesihatan tu yang bahaya. Bila badan letih, jadual ceramah padat, tidur pun tak cukup – memang senang sangat badan ‘crash’.
Masa muda mungkin ok. Tak nampak kesan lagi. Tapi bila dah bertahun, kesan tu di kemudian hari mungkin 40-an ke atas. Kesan sekarang, tindakan 5-10 tahun yang kebelakang.Tindakan sekarang, kesannya 5-10 tahun akan datang.
Cadangan saya untuk pihak Pengerusi, AJK Masjid Surau / Penganjur program. Mewakili para penceramah / isteri-isteri para penceramah (kalau ada yang setujulah) . Takut depa tak sampai hati ja nak habaq..
- Bukan nak kata jangan jamu langsung, tapi mungkin kita boleh adjust sikit cara kita raikan mereka. Jika lewat, apa kata tukar menu tu kepada makanan yang lebih ringan dan sihat? Buah-buahan, kekacang, kurma, roti wholemeal, sup sayur dll – makanan yang sedap tapi lebih mudah dihadam.
Atau kalau boleh jika makanan berat, tukar masa jamuan tu buat sebelum Maghrib / Isyak (macam konsep iftar bulan Ramadhan) supaya lepas makan ada masa untuk hadam sebelum tidur. Lepas program ceramah, masing-masing AJK dan penceramah dah boleh balik berehat tidur. Tiada lagi aktiviti mengeteh, mengopi atau menge”thai” lepas tu.
2. Ustaz-ustaz Ustazah-ustazah ni manusia biasa jugak- ada batas fizikal dan kesihatan. Kalau kita nak mereka terus berdakwah dengan sihat, kita kena mula dengan jaga pemakanan mereka. Raikan dengan cara yang lebih bijak- insyaAllah pahala pun jalan terus. Sama-sama kita ubah demi kebaikan semua. ❤️
Untuk para Asatizah juga,
- Jaga kesihatan ni tidaklah sukar mana rupanya.
Jaga tidur awal bangun awal: 10-4 am / 11-5 am. Pukul 11/12 tu pun hakikatnya dah dikira lewat sebenarnya. Kalau tiada apa-apa keperluan mendesak setiap hari, maka pilihlah untuk tidur awal. Cuba adjust semula jadual rutin demi kemaslahatan akan datang.
Tidur awal (tidur cukup) membantu otak membersihkan toksin, mengurangkan risiko Alzheimer, menstabilkan tekanan darah, mengurangkan risiko penyakit jantung, serta memperbaiki kawalan emosi dan pengeluaran hormon seperti serotonin dan melatonin.
Jaga aktiviti: at least Morning Walk awal pagi. Cuba adjust rutin jadual. Cth- berjalan kaki ke Masjid/Surau untuk solat Subuh (yang dalam jarak reasonable dalam 5-30 minit pergi, 5-30 minit balik. Lepas tu sambung sikit lagi bila matahari baru naik, buat sedikit senaman. Masuk dalam jadual rutin wajib, bukan bila ada masa.
Jaga makan/minum: Tinggalkan minuman manis terutamanya yang ada gula putih.
2. Kita nak terus sihat dalam berdakwah in sha Allah.
Cara Lifestyle Tun M boleh sama-sama kita jadikan inspirasi. Beliau juga sibuk kehulu kehilir sejak dari dulu dan mesti stress. Tapi MasyaAllah masih sihat kuat berjalan dengan usia 100 tahun tu. Apa yang beliau amalkan; jaga makan- jangan tambah lemak tak sihat (gemuk), jaga stress, otak aktif- membaca, menulis, berfikir, berdiskusi, fizikal aktif- bergerak, senaman, berjalan, berbasikal. (Antaranya, Refer wawancara Medical Channel Asia-https://www.youtube.com/watch?v=4vDyUvC6Aho)
Bayangkan jika semua para ilmuan, asatizah yang menyumbang untuk ummah ni, boleh berusia 100 tahun dan sihat tubuh badan masih aktif sihat berdakwah?. Amiin in sha Allah.. Jom sama-sama kita amalkan.
Ya, ajal maut itu ditangan tuhan. Tapi sihat itu juga satu pilihan. Melainkan jika sudah berikhtiar, Allah masih uji dengan faktor kesihatan. Bak kata omputih, “Prevention is better than cure”. Saya ingat satu nasihat yang berbekas sampai kini. Biar kita mati kerana ajal dan sakit tua, bukan mati kerana sakit yang dicipta. Na’uzubillahiminzalik.
Kasih sayang tu bukan pada banyaknya makanan, tapi pada usaha kita menjaga kesihatan mereka.
P/S: Tengoklah rupa dan badan encik suami ketika bergelar “penceramah bebas Masjid Surau” yang tiada kesedaran dari aspek “healthy lifestyle” ni. Masa ni masih bergelar pelajar PhD, sibuk berceramah, tidur lewat, makan tak jaga, healthy lifestyle kelaut.
Bila malam penat berceramah, esok pagi tu, kalau tiada kuliah subuh, lepas solat subuh di masjid/surau, confirm akan tidur balik lepas subuh, atas reason, “Nak berehat, semalam tidur tak cukup” – “Mana ada larangan tidur lepas subuh” . Jadinya bila dah tidur lepas subuh, memang takdalah aktiviti riadah/ berjalan pagi, campur malas lagi .
Kesedaran tentang menjaga kesihatan ni muncul tahun 2015. Alhamdulillah, dah start jaga tidur, makan dan berjalan pagi, aktiviti dll. Asbab PKP, maka tiada lagi ceramah dan makan lewat malam. Habis lost contact. Bila dah “bersalin kulit” menjadi “Dr Roket” ni, Alhamdulillah rupanya hikmah & manfaat Allah nak bagi jauh lebih besar.
“Jemaah” rupanya bukannya di Masjid / Surau, tp di Zoom yang audiencenya dalam 200-300 orang dikalangan pelajar Master PhD / golongan professional / usahawan / guru / pensyarah / PTD dll. MasyaAllah Tabarakallah. Ni dalam sesi Kuliah Subuh setiap Ahad.
Saya menulis ni juga untuk ingatan nasihat diri sendiri. Semoga Allah panjangkan usia kita semua dalam kesihatan, kebaikan dan ketaatan. Allah sembuhkan dan jauhkan dari sebarang penyakit dan musibah. Amiin.
Dalam sebuah hadis, Rasulullah menyatakan bahawa beruntunglah orang yang diberikan anugerah dengan usia yang panjang sedang dia teguh mengabdikan diri, taat kepada Allah. Sabda Rasulullah:
طُوبَى لِمَنْ طَالَ عُمْرُهُ، وَحَسُنَ عَمَلُهُ
“Beruntunglah bagi mereka yang dipanjangkan usianya dan (semakin) baik amalannya. (Sunan al-Baihaqi, dinilai Sahih oleh al-Albani)
Wallahu’alam. Semoga sampai mesej ini kepada semua yang berkenaan.
MMI
Gombak
26/3/2025 / 25 Ramadhan 1446H













