Saya suka lagu-lagu nasyid al-Arqam dulu a.k.a GISB. Kalau anda sezaman saya, pasti tahu nasyid kumpulan the Zikr & Nada Murni.
Lirik yang bagus, nasyid yang sedap didengar. Lagu yang penuh makna. Lagu berunsur ketuhanan & pujian kepada Nabi SAW.
Ni antara lagu kesukaan saya:
https://www.youtube.com/watch?v=_wSiQ2TUiCM (The Zikr)
https://www.youtube.com/live/6R-lE1Tm7rA?si=bxrKRZ_MEfdDQQKq (Nostalgia The Zikr & Nada Murni)
Tapi lately, dengan rebranding yang baru. Lagu mereka dah semakin “pelik kelaut”.
Lirik pun macam tak kena dengan muzik latar . Lagi merisaukan yang ada unsur syirik & sesat. Nau’zubillahiminzalik
Ka anda suka dan terngiang-ngiang dengar, “Pasar Ikhwan di Purajaya… Siapakah Abuya..?”.. Hehe
Dulu Berdakwah cara menutup aurat wanita Islam. Hatta ibu saya memakai tudung labuh juga asbab kesedaran yang dibawa oleh mereka.
Yang paling saya ingat sampai sekarang adalah majalah muslimah (kalau tak salah saya nama al-Mukminah atau Muslimah) masa zaman saya kanak-kanak. Mak beli.
Cover depan majalah tu tunjuk wanita-wanita yang memakai pakaian tudung labuh berjubah hitam ada kanak-kanak di sebuah perkampungan.
Jom kita lihat antara kebaikan dan sumbangan mereka:
Al-Arqam, sebuah pergerakan Islam yang diasaskan oleh Ust Ashaari Muhammad pada tahun 1968, pernah menjadi satu fenomena besar di Malaysia dan serata dunia. Walaupun organisasi ini telah diharamkan pada tahun 1994.
Legasinya masih diteruskan oleh syarikat dibawah jenama Global Ikhwan Sdn Bhd (GISB) yang kini menjalankan aktiviti ekonomi dan sosial dengan prinsip-prinsip yang diasaskan oleh Al-Arqam.
5 Kebaikan dan Kelebihan Al-Arqam dan GISB yang patut dicontohi golongan dakwah / jemaah / institusi yang lain:
- Kekuatan Ekonomi
Bab kekuatan ekonomi ni memang saya tabik spring! Sampai bina satu empayar yang besar. Konsep koperasi yang diamalkan oleh mereka berjaya mengurangkan kebergantungan pada pihak luar dan memupuk semangat berdikari.
GISB meneruskan legasi ini dengan menceburi pelbagai sektor perniagaan seperti restoran halal, hospitaliti, dan peruncitan, yang memberikan peluang pekerjaan kepada ramai orang, terutama dalam kalangan umat Islam.
Tapi kan.. Memang tak tabik dahla.. Hmm Tak acilah kalau dah tak bayar gaji staff, KWSP, kerah orang bawah semua tu .. Kita tunggu laporan lanjut dari pihak bertangunggjawab. Yang namanya business boleh tiru. Tapi jangan tiru yang tak bayar gaji, tak ikut undang-undang tu. Salah kot! Ish.. tergamak buat kat orang macam tu..
- Sistem Pendidikan dan Latihan yang Holistik
Mana mungkin sesebuah komuniti yang kuat tidak melalui satu sistem pendidikan dan latihan khusus. Secara luarannya kita boleh lihat pembinaan ni melibatkan pembangunan rohani dan jasmani.
Mereka mewujudkan pusat pendidikan dan latihan yang menggabungkan pembelajaran agama dan kemahiran praktikal. Hal ini membantu membentuk generasi yang bukan sahaja berilmu, tetapi juga mempunyai etika kerja yang tinggi.
GISB meneruskan pendekatan ini dengan menubuhkan pusat-pusat latihan untuk membentuk ahli yang berdedikasi dan bersedia memberi khidmat kepada masyarakat.
Pembangunan modal insan ini dianggap sebagai tunjang kekuatan GISB hingga hari ini.
Cuma apa yang mereka “belajar” dan “bina” itu kita tak pasti wallahu’alam. Dari sudut betul ke mereka kerja “fisabilillah” “demi perjuangan” “demi abuya” tanpa gaji ni wallahu’alam. Dengar cara “brainwash” tu dahsyat sangat.. Astaghfirullah.. Serahkan pada pihak penguasa.
- Kehidupan Berkomuniti dan Ukhwah Islamiah
Al-Arqam dan GISB menekankan kehidupan berkomuniti sebagai satu cara untuk mencapai kejayaan dunia dan akhirat.
Pengikut mereka hidup dalam komuniti yang tersusun, di mana segala aktiviti dilakukan secara bersama. Konsep gotong-royong, saling membantu, dan bersatu padu diamalkan dalam kehidupan harian mereka.
Ini melahirkan masyarakat yang saling menyokong dan menanggung beban bersama.
GISB mengekalkan prinsip ini dengan menggalakkan kehidupan berkomuniti yang harmoni, di mana ahli saling bantu-membantu dalam urusan kehidupan harian dan pekerjaan.
Hanya bergaul “geng-geng mereka” ni, saya secara peribadi bila memasuki premis mereka ni, akan ada rasa sedikit “lain macam” a.k.a “misteri”. Hehe. Wallahu’alam kenapa ada perasaan tu. Tapi mereka baik sahaja. Rupanya ada cerita… Seperti yang anda dengar & baca..
- Penekanan kepada Akhlak dan Moral Islam
Kelebihan lain yang ditonjolkan oleh Al-Arqam ialah penekanan terhadap akhlak dan moral Islam dalam semua aspek kehidupan.
Dalam sistem Al-Arqam, pengikut diajar untuk menjaga adab dan etika dalam perhubungan sesama manusia, baik dalam urusan perniagaan, pendidikan, mahupun kehidupan seharian.
Disiplin ini menjadi asas kepada kejayaan mereka dalam membentuk masyarakat yang bertanggungjawab dan berintegriti tinggi.
Dalam GISB, penekanan terhadap akhlak ini diteruskan dengan menanamkan nilai-nilai Islam dalam setiap aspek kehidupan dan perniagaan mereka.
Dalam isu “gengstersim” dan beberapa isu yang disabitkan itu kita serahkan kepada pihak berkuasa. Berselindung disebalik namanya agama? wallahu’alam. Tak baik macam tu…
- Dakwah secara berhemah
Saya ada terbaca satu sharing dari salah seorang ex-pengikut mereka. Katanya, sikap mereka dalam berdakwah adalah tidak menghukum, tiada kata-kata kesat, menyindir dan judge orang.
Siapapun si pendosa, mereka terima dan didik dan membawa kembali kepada tuhan.
Tak mustahil, apabila orang yang selama ini rasa kosong dan “tidak jumpa tuhan”, apabila ada golongan yang approach secara baik, tidak menghukum mereka jumpa “sinar di penghujung jalan”.
Itu ada dikalangan mereka sangat appreciate dan sanggup terus “tinggalkan dunia”. Tapi kalau ajaran yang mereka dapat itu tersasar, mereka mudah terima sebab mereka tidak ada ilmu asas tentang agama Islam.
Sebab itulah orang yang ada ilmu agama sahih pula kena baiki cara approach, supaya ilmu yang sahih sampai kepada mad’u.
Tuan Puan,
Siapa pun tak nafikan kebaikan yang dibawa oleh al-Arqam, Rufaqa’, Ikhwan atau GISB dalam nak “membina ekonomi Islam dan Akhlak Islam”.
Siapapun tidak menghalang perjuangan yang dibawa untuk membentuk “Dunia Islam Baru” ke arah khilafah islamiyah dsb.
Bukan isu hasad dengki.
Bagus dan betul dah poin untuk tu 5 tajuk tu untuk mereka. Memang patut kita contohi. Tiru pada bahagian tajuk. Jangan ditiru pada sistem yang dibuat.
Poinnya adalah, Orang yang betul & benar lagi patut boleh buat jauh lebih baik!. In sha Allah
Siapa kata mereka jahat? Memang jahat dan sesat. Nau’zubillahiminzalik.
Aniaya orang, Gaji tidak dibayar. Aniaya kanak-kanak dan keluarga. Anda cari & baca sendiri. Kita serah pada pihak berkuasa. Hukuman setimpal patut dikenakan. Tiada kompromi.
Apa yang dihalang juga adalah pada perkara yang melibatkan AQIDAH.
Bab Aqidah ni sangat bahaya, berat & sesat. Nau’zubillahiminzalik
Kita sentuh bab Aqidah sahaja.
Kita berada dalam zaman yang ada pelbagai jenis fahaman. Timbul pelbagai jenis golongan ustaz dan pendakwah. Jangan pening-pening konfius.
Boleh je dengar apa-apa perkongsian, tapi kena pandai “filter”. Nak ikut yang mana- macam mana nak “filter”?
Kita sebagai rakyat marhaen, saya kongsikan sedikit panduan. Ingat dan pegang prinsip asas ini betul-betul:
(1) “Gigit dengan geraham” dari apa yang datang dari al-Quran dan as-Sunnah.
Sebagaimana sabda Nabi SAW pesan:
تَرَكْتُ فِيكُمْ أَمْرَيْنِ لَنْ تَضِلُّوا مَا تَمَسَّكْتُمْ بِهِمَا كِتَابَ اللَّهِ وَسُنَّةَ نَبِيِّهِ
Maksudnya: Aku telah tinggalkan buat kalian dua perkara yang kalian tidak akan sesat selama-lamanya selagi mana kalian berpegang pada keduanya iaitu kitab Allah dan sunnah nabi-Nya. (Riwayat Al-Imam Malik)
Maksudnya, kalau ustaz, tok syeikh, tuan guru, pendakwah dsb memberi ceramah, lihat dan perhatikan pada penerangan dan percakapannya.
Penerangan mereka ada tak sandaran dari al-Quran dan hadis Nabi SAW. Atau banyak cerita “misteri ganjil” & “karamah” yang tidak habis-habis. Hati-hati.
Benda paling senang kita nak faham. Rasulullah SAW-Nabi penutup akhir zaman sendiri pun tidak ada cerita baginda boleh terbang & jalan atas air. Hatta Abu Bakar, Umar dan para sahabat.
Allah sebut Nabi Muhammad pun manusia biasa seperti kita (surah al-Kahfi: 110).
Apatah lagi kita manusia biasa ummat baginda sahaja. Wallahu’alam.
(2) Dari Cinta Allah dan Rasul kepada agungkan makhluk
Mungkin pada peringkat awal asalnya, memang mereka bawa kepada Allah & Rasulullah SAW.
Kita sayang dan mulia kan tuan guru yang bawa kita mengenali & sayang Allah dan Rasul.
Namun, Muliakan guru, tok syeikh dsb itu ada hadnya.
Bila memuliakan yang lama kelamaan membawa kepada mengagungkan & memuja individu.
Itu sudah melampaui batas. Sehingga melebihi agungkan Allah & Rasul. Apatah lagi sampai tahap sama level dengan tuhan yang boleh ampunkan dosa.
Hati-hati apabila ada elemen menggantung gambar-gambar itu.
Kalau ada bacaan atas nama “zikir” tapi ada nama-nama individu (yang tiada asas dari apa yang Nabi SAW ajar- Al-Quran & Hadis), hati-hati.
Kita takut lama kelamaan tergelincir aqidah tanpa sedar.
Yang akhirnya bukan lagi kita agungkan tuhan, sebaliknya agungkan gambar wajah yang digantung itu dan nama-nama tersebut.
Kedua-dua ini tidak semestinya pada isu GISB sahaja.
Sebab itulah agaknya Allah pelihara Nabi Muhammad SAW yang langsung tidak ada sebarang bentuk gambar dsb.
Kalau tidak, kemungkinan besar penuh gambar Muhammad di rumah-rumah dan akhirnya kepada sembah Muhammad.
Na’uzubillahiminzalik.
Semoga Allah pelihara kita dan anak-cucu kita semua dari kesesatan. Amiin ya Rabb.
Semoga Allah sentiasa pandu kita mengikut petunjuk sebenar yang dibawa oleh baginda Rasulullah SAW.
Salam Maulidur Rasul.
Mardiana Mat Ishak
Gombak
=======
Boleh rujuk untuk info lanjut:
1) Abdullah, A. (1999). The Al-Arqam Movement: Its rise and fall. Penerbit Universiti Malaya. Buku ini memberikan gambaran keseluruhan tentang sejarah, ajaran, dan kontroversi Al-Arqam, termasuk peranan GISB selepas pengharaman Al-Arqam.
2) Majlis Fatwa Kebangsaan Malaysia (1994). Pengharaman Al-Arqam. Dikeluarkan oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), fatwa ini mengisytiharkan bahawa Al-Arqam telah menyimpang dari ajaran Islam dan diharamkan di Malaysia. Abdul Rahman, H. (2002).
3) Al-Arqam: Kewujudan dan kesannya terhadap masyarakat Islam di Malaysia. Buku ini menerangkan kesan sosial dan ekonomi yang dibawa oleh Al-Arqam dalam kalangan umat Islam di Malaysia.
4) GISB Holdings Official Website. Profil dan Aktiviti GISB. Laman web rasmi GISB memberi maklumat lanjut tentang aktiviti perniagaan dan sosial syarikat ini selepas pembubaran Al-Arqam.
5) Norzani, M. (2014). Peranan GISB dalam membangunkan ekonomi berteraskan syariah. Journal of Islamic Business and Finance, Vol. 10, No. 1. Artikel ini membincangkan sumbangan GISB dalam pembangunan ekonomi Islam.












